Thursday, 17 September 2015

PEMIMPIN LUGAS


Salam,

1.    Jika dibuat ujian rambang seluruh rakyat, fikir saya sebahagian besar mahu menjadi pemimpin berbanding menjadi pengikut walaupun hakikatnya tidak semua mampu menjadi pemimpin. Malah menjadi pengikut saja sulit sekali untuk mengikut mana mungkin untuk memimpin. Menjadi pemimpin itu harus ada beberapa syarat dan paling utama adalah lugas tidak berbelit-belit yang kemungkinan besar membelit bukan saja dirinya malah lidah yang deras berputar-putar. Antaranya yang cukup penting adalah;

  •  Jangan sesekali berkata ini bukan tanggungjawab saya. Kerana rakyat tidak tahu yang mana tanggungjawab tahap kampung, daerah, negeri atau negara. Itu pantang sebagai pemimpin walaupun itu kemungkinan tanggungjawab pusat dan dia di peringkat negeri. Seharusnya diamalkan 'No wrong door policy' jika kita benar-benar pemimpin mewakili rakyat.
  • Jangan sesekali beralasan tidak punya wang walaupun ketika jawatan itu disandang hutang yang ditanggung jutaan ringgit angkara inkumben. Harus pintar merawat masalah kerana itulah sifat pemimpin dan jika tidak kamu tidak dipilih sebagai pemimpin. Sepanjang tempoh menjawat jawatan itu maka berjimatlah agar segera hutang itu dapat dilangsaikan. Dengan memberitahu tidak ada wang maka ia akan mengurangkan kreativiti seseorang pemimpin dan akan menyalahkan masa lalu. Pemimpin masa lalu begini dan begitu sehingga rakyat jadi lelah mendengar alasan sama setiap kali berganti pemimpin. Pernah satu ketika saya bertanya Mukhriz Mahathir yang ketika itu dalam proses bertanding jawatan Ketua Pemuda Kubang Pasu di mana beliau tewas kepada Zulkifli Ahmad yang dipanggil Zul Beras. Saya berkata kepada Mukhriz, "wakil rakyat sering berkata tidak ada wang dan bimbang untuk melawat kawasan jika di kawasan mereka terkena musibah". Jawab Mukhriz, kilang-kilang seperti gula dan produk makanan tertentu ada tarikh lupusnya. Jika kita mohon jasa baik pihak kilang, mereka akan membantu untuk memberi produk yang beberapa bulan sebelum lupus tarikh jika diminta. Oleh itu kata Mukhriz, "jangan sesekali melawat mangsa musibah seperti banjir atau ribut dengan tangan kosong atas alasan belum ada peruntukan kerana ianya mengecewakan rakyat". Ada juga pemimpin lain yang memberitahu saya bahawa sebagai pemimpin, mereka seharusnya punya jaringan kerja dengan pengusaha atau pemilik kilang papan dan hardware sebagai persediaan jika berlaku ribut dan sebagainya untuk membolehkan ambil dulu bayar kemudian barang-barang seperti zink dan sebagainya bagi membantu mangsa tersebut. Menunggu peruntukan datang yang entah bila bererti membiarkan mangsa ribut atau banjir tinggal dengan keadaan rumah tidak berbumbung ditambah dengan musim hujan. Jika mangsa sendiri sudah usahakan untuk membaikinya, jika datang bantuan kelak nilainya sudah tidak sama dengan ketika mereka benar-benar memerlukan. 
  • Jangan sesekali mengeluh kerana jika pemimpin mengeluh ertinya secara psychologynya beliau lemah. Bagaimana pemimpin ingin melayan rakyat jika dia sendiri dilihat lemah? Malangnya inilah ekspresi yang sering ditampilkan oleh pemimpin sehingga rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap pemimpin.

2.    Banyak lagi ciri-ciri kepimpinan yang dapat membantu seseorang pemimpin untuk dekat di hati rakyat. Rakyat tidak perlukan pemimpin yang mengamalkan pendekatan populis dan penuh retorika sedangkan fakta sebenar adalah tong kosong diisi konkrit untuk menghilangkan bukti. Untuk mendapatkan dokongan rakyat yang penting adalah kepercayaan. Harga kepercayaan tidak mahal jika keranjangnya tidak berisi korupsi dan ufti kerana sebenarnya kepercayaan itu tidak akan dapat dibeli dengan wang ringgit. Yang menyebabkan ia menjadi mahal kerana selama ini kita membudayakan wang sebagai senjata untuk membeli apa saja khususnya dokongan. Lama kelamaan wang sudah menjadi raja dan kita sudah menjadi hamba yang terpaksa menyembah wang untuk tidak diapa-apakan oleh raja seperti kata Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir terhadap pemimpin yang menganggap 'cash is king'

3.   Kata Donald H. Mc Gannon, "Kepemimpinan tercermin dari tindakan, bukan kedudukan" tetapi yang terpancar setiap kali melihat pemimpin adalah "Kepemimpinan tercermin dari kedudukan bukan tindakan".

Wallahualam

Tuesday, 8 September 2015

Bencana Alam Atau Bencana Manusia?

Salam,

1.    Petang tadi aku ke pasar malam Kepala Batas Jitra untuk membeli ikan buat kucing-kucing bekalan seperti biasa untuk seminggu. Dalam perjalanan sudah kelihatan langit hitam lagi gelap. Sebaik sampai langsung beli makanan malam dan ke tempat menjual ikan. Hujan mencurah dengan begitu lebat diselang-seli angin kuat hingga hampir saja terbang payung-payung peniaga. Pelanggan pasar malam di sebelah aku yang turut berlindung di bawah payung peniaga berkata, "Aduh! Bencana Alam!".

2.     Aku langsung terfikir jika apa yang berlaku tidak kira kecil atau besar bencana yang datang pastinya alam yang dipersalahkan. Mungkin benar fikiran aku selama ini manusia itu hanya belajar setinggi langit cuma untuk membolehkan mereka menyalahkan orang lain.

3.    Aku kira sebenarnya alam tidak sepatutnya dipersalahkan walaupun berlaku Tsunami, gempa bumi, tanah gelungsur, banjir, jerebu atau apa juga yang dinamakan bencana. Alam hanya mencari keseimbangan baru setelah tangan-tangan manusia yang membencanakan alam. Itu namanya bencana manusia bukannya bencana alam jika bukit-bukau ditarah, pokok-pokok sewenang-wenangnya ditebang malah dibakar secara terbuka hingga membawa jerebu ke negara lain.

4.    Manusia itu sememangnya suka menyalahkan orang lain sepertimana berlaku dalam isu-isu besar seperti 1MDB. Lihat saja siapa yang dijadikan kambing hitam untuk menggelapkan mata rakyat untuk melihat kebenaran? Dalang di sebalik gelapnya RM42B belum berjaya dihadirkan, pembocor maklumat pula menjadi sasaran. Di mana Jho Low? Di mana mereka-mereka yang pernah menerajui 1MDB? Xavier Andre Justo yang dituduh di Bangkok kerana memeras ugut bekas majikannya Petro Saudi pula saban waktu dijelmakan untuk berkata-kata bagi pihak tertentu tanpa kehadirannya tentang isu ini. Sebenarnya yang lebih penting dan ingin diketahui oleh rakyat adalah di mana keberadaannya wang RM42B dan dari mana wang RM2.6B yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri. Begitu gampang persoalan untuk dijawab tetapi dibawa rakyat melancong ke alam fantasi begitu jauh dengan tambang yang begitu besar untuk memuntahkan rakyat yang terpaksa menungu dan menunggu.

5.    Berapa lama lagi rakyat harus menunggu untuk melihat dan mendengar kebenaran isu-isu yang berputar di langit tanahair daripada terus dipertontonkan drama penundaan? Kata Sudjiwo Tedjo, "Ditunda sampai seabad pun rakyat akan memaafkan, karena mereka sudah bukan rakyat lagi .. mereka rakyat yg sudah dibius oleh media massa..". Apakah benar kata-kata budayawan dari Indonesia ini?

6.     Rakyat begitu mendambakan pemimpin yang bisa membawa negara mencapai tahap kemajuan dunia dan akhirat, pembangunan fizikal negara dan modal insan agar adanya keseimbangan antara kehidupan ketika hidup dan selepas mati. Rakyat juga amat perlukan pemimpin yang bisa menyamankan kehidupan mereka baik sudut ekonomi, sosial, politik dan keselamatan. Rakyat tidak perlukan pemimpin tangan besi dan tidak perlukan pemimpin yang dinabikan kerana kata Sudjiwo Tedjo lagi, "pemimpin tangan besi mematikan nyali (keberanian). Pemimpin yang dinabikan mematikan nalar (pertimbangan logis)

7.      Marilah sama-sama kita berdoa agar negara dijauhi pemimpin yang tergelincir ke kubang diktator kerana ketika akal sudah tidak bisa lagi mengubah, usaha sudah tidak lagi berkesan, hanya doa saja satu-satunya senjata orang-orang mukmin untuk berdepan ujian sebesar mana sekalipun yang datang. 
Tambah karyawan seberang juga, "mengkritik adalah sebahagian dari doa", apa betul itu? Malang sekali mengkritik juga sekarang udah gak bisa! Kata teman saya tadi, "ngomel-ngomel terus kita juga yang haus".

Wallahualam

Monday, 7 September 2015

TRAGEDI KEMANUSIAAN DI SYRIA

Salam,

Rakyat Syria sebenarnya telah menjadi mangsa keadaan akibat perbalahan pihak berkepentingan dengan Rejim Zalim Basyar Al Asad. Dengan kemunculan dan dominasi Kumpulan IS di wilayah bergolak itu, Syria seakan-akan sudah jatuh ditimpa tangga.

Rakyat di negara asing yang berhasrat untuk membantu rakyat Syria pula keliru dan tersepit antara menghulurkan bantuan atau dituduh bersekongkol dengan IS yang sebenarnya adalah musuh Islam yang menyusup masuk ke dalam jubah umat Islam dan mengatasnamakan perjuangan Islam.

Setiap hari kita hanya mampu memendam kesedihan dan kekecewaan melihat umat Islam yang tidak bernasib baik menjadi mangsa kepada kerakusan kuasa dan pihak yang mempertahankan kuasa. Setiap detik rasa kenyang, nikmat dapat berselimut ditemani penghawa dingin bagi kita adalah kesengsaraan kepada rakyat Syria yang hidup penuh dengan kebimbangan dan ketakutan.

Di manakah umat Islam seluruh dunia yang jumlahnya 23.4 persen daripada jumlah penduduk dunia tetapi hanya umpama buih-buih di lautan. The Organisation of Islamic Cooperation (OIC) dan LIga Arab hanya sekadar menjadi cacing-cacing yang memakan kayu-kayu busuk tanpa sebarang peranan jelas membantu rakyat Syria tidak termasuk lagi Palestin.

Tindakan mengutuk dan ucapan retorik di PBB yang secara nyata menjadi boneka Amerika dan kuasa besar lebih memedihkan umpama menuang cuka di luka yang terbelah.

Apakah tindakan hanya akan diambil setelah Syria menjadi padang jarak padang tekukur atau rejim boneka Amerika berjaya ditahtakan?

Wallahualam

Thursday, 3 September 2015

Kumpulan militan Negara Islam (IS)

Salam,

1.     
Sejak beberapa minggu lalu fikiran saya agak terganggu apabila memikirkan keadaan keselamatan negara yang kian meruncing jika dilihat dari laporan beberapa insiden lepas termasuk pada 9 Februari 2013, sebuah kumpulan penceroboh telah memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu,Sabah. Ramai pegawai dan anggota pasukan keselamatan kita terkorban. 

2.    Luka rakyat akibat kehilangan kehilangan pesawat MAS MH 370 dan MH 7 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine belum hilang, berlaku lagi pencerobohan masuk ke wilayah kita oleh sindiket pemerdagangan manusia hingga menyebabkan ratusan mangsa warga Rohingya mati dan dikebumikan di sebuah kawasan hutan di Wang Kelian Perlis.  

3.    Kebelakangan ini pula, dari laporan media arus perdana, dilaporkan ramai rakyat negara ini dan warga asing yang ditahan oleh unit 'counter terrorism' Cawangan Khas PDRM kerana disyaki terlibat dengan kegiatan militan dan dikaitkan dengan Kumpulan militan Negara Islam (IS). Seperti yang dilaporkan oleh media asing dan tempatan, Kumpulan militan Negara Islam (IS) adalah kumpulan militan radikal yang menggunakan nama Islam untuk berjihad, dan kini telah menguasai sebahagian besar kawasan di timur Syria, di utara serta barat Iraq. 

4.     Kumpulan ini menggunakan taktik ganas termasuk pembunuhan beramai-ramai musuh yang ditangkap, penculikan, dan memenggal kepala petugas media dari negara luar sehingga menyebabkan campur tangan tentera Amerika Syarikat (AS) yang menyerang kubu kumpulan itu di Iraq. Matlamat IS didakwa untuk mewujudkan sistem pemerintahan khalifah, iaitu negara yang diperintah oleh seorang pemimpin politik dan agama.

5.     Walaupun pada masa ini IS masih beroperasi di Iraq dan Syria, kumpulan itu telah berjanji akan memperluaskan jajahan ke Jordan dan Lebanon serta membebaskan Palestin. Mengikut laporan sama, IS mendapat sokongan militan Islam dari seluruh dunia dan menuntut semua ahlinya bersumpah taat-setia kepada ketuanya, Ibrahim Awad Ibrahim Ali al-Badri al-Samarrai, atau lebih dikenali sebagai Abu Bakr al-Baghdadi.


6.      Menyentuh tentang IS, banyak pihak dan ramai di kalangan kita agak bimbang dengan trend yang cuba digambarkan kepada rakyat tentang wujudnya ancaman yang agak serius setelah ramai yang berjaya ditahan itu didakwa akibat penglibatan dengan kegiatan IS. Jika ini sesuatu yang benar bererti kumpulan militan telah menjadikan Malaysia sebagai sasaran utama melebarkan jaringan militan di rantau ini. Malah ia memungkinkan negara berdepan masalah ekonomi jika pelabur hilang keyakinan terhadap tahap keselamatan negara ini.

7.     Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan mementingkan keselamatan negara demi kepentingan generasi akan datang, saya agak kritis dan analitis dalam soal ini apabila persoalan demi persoalan mencurah masuk ke dalam rongga fikiran saya setelah mencantum kesemua insiden-insiden yang telah berlaku itu dan membina menara pandang untuk diselidiki dari pelbagai sudut. 


8.      Berhubung dengan ancaman IS, sekiranya mahu di
bandingkan dengan mengambil pendekatan logika, antara negara-negara di Asia khususnya ASEAN, hanya Malaysia dan Singapura yang tidak berdepan ancaman secara langsung daripada kumpulan militan atau kumpulan pemisah. Jika di Thailand kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN), Pattani United Liberation Organsation (PULO), Barisan Pembebasan Islam Pattani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Pattani (GIMP) seperti sudah bersedia menjadi tapak atau medan tempur bagi IS untuk bertapak .

9.     
Di Selatan Filipina pula terdapat Kumpulan Abu Sayyaf (KAS), Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF). Sementara di Indonesia Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan pertubuhan-pertubuhan Islam berhaluan kiri seperti Hizbut Tahrir dan berbagai lagi yang mendokong perjuangan keras tidak termasuk Jemaah Islamiyah (JI) sentiasa terbuka untuk diresapi elemen keganasan. Dan di China wujud pejuang Uighur di wilayah Xinjiang dan India pejuang pemisah Kashmir. Sudah pastilah ia merupakan aset penting kepada IS untuk bertapak. Dengan kemahiran dan semangat ingin berjuang atas landasan Islam sedia ada, rakyat di negara-negara ini merupakan 'soft target' kepada IS untuk direkrut. Tetapi, kenapa negara-negara ini tidak disasarkan oleh IS?

10.     Kesemua negara-negara yang disebutkan di atas juga memiliki kawasan paling sesuai untuk pembiakan dan diresapi elemen pemberontak atau militan seperti IS kerana faktor demografi dan bentuk muka bumi yang menjadi 'advantage' kepada pihak yang berhajat menjadikan negara itu sebagai pengkalan dan kubu mereka. Namun demikian, persoalan yang melintas-lintas di fikiran saya kenapa Malaysia sebaliknya yang kurang kelebihan kepada puak militan dilaporkan menjadi sasaran 'recruiting' oleh kumpulan IS?

11.      Banyak lagi persoalan yang dapat dirungkai sebagai wadah untuk mencari kebenaran di sebalik isu IS ini selain harus ada kesedaran bahawa tidak semua mereka yang pergi berjuang di Syria itu melibatkan diri dengan IS. Umum perlu mengetahui bahawa kekejaman dan kebrutalan rejim Bashar Al Assad terhadap rakyatnya bukan saja mendapat tentangan daripada rakyatnya sendiri, malah banyak kumpulan pejuang-pejuang asing yang pergi ke Syria bagi membantu rakyat negara itu tanpa terlibat dengan militan IS atas dasar simpati sepertimana yang dilakukan oleh mereka-mereka yang berjihad di Afghanistan dan Bosnia sebelum ini. 

12.     IS juga turut dicurigai mempunyai hubungan langsung dengan perisikan Amerika dan Israel iaitu CIA dan MOSSAD bagi melunaskan impian mereka untuk menghancurkan Islam dari dalam seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah yang dirintis oleh Abdullah bin Saba'. Bayangkan betapa tidak rasionalnya sebuah negara kuasa besar seperti Amerika dan Israel yang diketahui mempunyai senjata-senjata terkini dan ampuh gagal menangani isu IS. Malah IS dengan begitu jelas berperang menggunakan senjata terkini dan merbahaya dari mana datangnya semua itu? Paling menghairankan adalah dana untuk membiayai pembelian persenjataan serta peluru dan bom yang sentiasa mencukupi walaupun terkepung.

13. Hanya musang mengenali musang berbulu ayam dan hanya penjenayah dengan mudah mengenalpasti penjenayah. Sekadar lontaran fikiran untuk sama-sama kita merenung dan berfikir. Bukankah berfikir itu gratis?

Wallahualam

Wednesday, 2 September 2015

MANTRA TEROPONG POLITIK

Salam,

1.   Artikel pertama saya dalam blog ini seharusnya cerminan kepada teras judul blog yang dicipta khusus untuk melihat karenah politik masa kini yang terkait dengan masa lalu dan masa depan. Mantra yang dibisik seharusnya juga punya sifat-sifat mantra yang begitu hampir dengan sesuatu yang ghaib. Ghaib tidak dapat dilihat tetapi dirasai dan didenyuti oleh siapa saja yang disentuh oleh mantra. Teropong politik pastinya berfungsi dari jauh kerna jika dekat kenapa harus teropong jadi pembantu? Maka sesuatu yang jauh itu terkadang bila didekati betul seperti ketika jauh dan ada masanya agak tersasar kerana itulah risiko jarak. Namun dengan hadirnya mantra sekurang-kurangnya jauh menjadi dekat dan dekat didekatkan lagi.

2.   Jangan ada seorangpun rakyat Malaysia yang secara sedar atau tidak berkata politik itu milik elitis politik dan sebagai rakyat harus membiarkan elitis-elitis ini melakukan apa saja semaunya. Negara ini milik kita bersama dan apa juga yang berlaku sudah pasti menimpa kita tanpa mengira siapa kita samada berada di luar dan dalam lingkaran politik atau yang sedang menaungi korodor kuasa. Setiap keputusan mereka akan menjadi rahmat atau musibah kepada seluruh rakyat samada kita bersetuju ataupun tidak setelah mereka diangkat menjadi pemerintah dengan mengatasnamakan rakyat. 

3.   Untuk itu, saya akan sedaya mungkin akan meneropong politik tanahair berbekalkan mantra yang dimiliki samada secara formal atau tidak sebelum ini. Jalan yang dirintis sebelum ini penuh dengan ilmu yang jika dikutip secara ikhlas dan jujur pastinya akan memberi manfaat kepada sesiapa saja. Dan sesuatu yang malang jika ia dibekukan atau dibiar hanyut entah ke muara atau tengah lautan tanpa ada yang mendapat manfaatnya. 

4.    Tidak semua berpeluang mendapat mantra dan tidak semua yang mendapat peluang menjadikannya bekal mengubati luka rakyat yang kian bernanah angkara digodam dan dibelasah tanpa belas kasihan oleh mereka yang bernama pemimpin tamak dan haloba hingga memaksa rakyat bergelumang dalam lembah duri dan kaca demi kenikmatan mereka. Namun, sampai bila rakyat harus menanggung celaka dan bahang neraka hasil tangan-tangan pemimpin yang korup lagi jahat? Hanya pencerahan demi pencerahan kepada rakyat mampu membuka mata mereka betapa apa yang dilihat, didengar dan dicanang tidak lebih dari propaganda untuk mendapat, mengekal dan mempertahankan kuasa. 

5.   Rakyat akan terus menderita selagi kaca dikata intan sedangkan intan dikatakan kaca. Rakyat sebenarnya tidak bodoh tetapi diselubungkan dengan rela kelambu kebodohan oleh pemimpin agar mudah tengkuk dirantai dan telinga dipulas untuk menghambakan diri kepada pemimpin-pemimpin ini yang tidak pernah kenal erti putus asa untuk menjadi dewata. Apa kata mereka itulah yang perlu dikota dan rakyat hanya mampu membeliakkan mata tanda sekata walaupun harga sebenar tidak lain hanyalah airmata. 

6.    Ada masanya rakyat harus jadi kurang ajar bukan kerana kemahuan mereka tetapi untuk mengajar pemimpin yang sengaja mengundang nista. Janganlah kita sesekali menjadi munafik hanya kerna untuk menyenangkan hati pemimpin dengan bersandiwara ketawa sedangkan hakikatnya menderita. Kurang ajar tidak semestinya datang bersama kekerasan tetapi ia boleh saja tampil dalam bentuk protes yang dibenarkan undang-undang di mana perlembagaan persekutuan sebagai tunggak menentukan garis pemisah yang mana benar yang mana salah. 

7.    Insyallah dengan budaya intelektual dan tahap pemikiran rakyat yang semakin celik politik akan memudahkan mantra teropong politik tampil dengan madah diselit seloka. Mudah-mudahan dipermudahkan yang tidak mudah dan lebih memudahkan yang telah mudah.

Wallahualam.