Salam,
1. Petang tadi aku ke pasar malam Kepala Batas Jitra untuk membeli ikan buat kucing-kucing bekalan seperti biasa untuk seminggu. Dalam perjalanan sudah kelihatan langit hitam lagi gelap. Sebaik sampai langsung beli makanan malam dan ke tempat menjual ikan. Hujan mencurah dengan begitu lebat diselang-seli angin kuat hingga hampir saja terbang payung-payung peniaga. Pelanggan pasar malam di sebelah aku yang turut berlindung di bawah payung peniaga berkata, "Aduh! Bencana Alam!".
2. Aku langsung terfikir jika apa yang berlaku tidak kira kecil atau besar bencana yang datang pastinya alam yang dipersalahkan. Mungkin benar fikiran aku selama ini manusia itu hanya belajar setinggi langit cuma untuk membolehkan mereka menyalahkan orang lain.
3. Aku kira sebenarnya alam tidak sepatutnya dipersalahkan walaupun berlaku Tsunami, gempa bumi, tanah gelungsur, banjir, jerebu atau apa juga yang dinamakan bencana. Alam hanya mencari keseimbangan baru setelah tangan-tangan manusia yang membencanakan alam. Itu namanya bencana manusia bukannya bencana alam jika bukit-bukau ditarah, pokok-pokok sewenang-wenangnya ditebang malah dibakar secara terbuka hingga membawa jerebu ke negara lain.
4. Manusia itu sememangnya suka menyalahkan orang lain sepertimana berlaku dalam isu-isu besar seperti 1MDB. Lihat saja siapa yang dijadikan kambing hitam untuk menggelapkan mata rakyat untuk melihat kebenaran? Dalang di sebalik gelapnya RM42B belum berjaya dihadirkan, pembocor maklumat pula menjadi sasaran. Di mana Jho Low? Di mana mereka-mereka yang pernah menerajui 1MDB? Xavier Andre Justo yang dituduh di Bangkok kerana memeras ugut bekas majikannya Petro Saudi pula saban waktu dijelmakan untuk berkata-kata bagi pihak tertentu tanpa kehadirannya tentang isu ini. Sebenarnya yang lebih penting dan ingin diketahui oleh rakyat adalah di mana keberadaannya wang RM42B dan dari mana wang RM2.6B yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri. Begitu gampang persoalan untuk dijawab tetapi dibawa rakyat melancong ke alam fantasi begitu jauh dengan tambang yang begitu besar untuk memuntahkan rakyat yang terpaksa menungu dan menunggu.
5. Berapa lama lagi rakyat harus menunggu untuk melihat dan mendengar kebenaran isu-isu yang berputar di langit tanahair daripada terus dipertontonkan drama penundaan? Kata Sudjiwo Tedjo, "Ditunda sampai seabad pun rakyat akan memaafkan, karena mereka sudah bukan rakyat lagi .. mereka rakyat yg sudah dibius oleh media massa..". Apakah benar kata-kata budayawan dari Indonesia ini?
6. Rakyat begitu mendambakan pemimpin yang bisa membawa negara mencapai tahap kemajuan dunia dan akhirat, pembangunan fizikal negara dan modal insan agar adanya keseimbangan antara kehidupan ketika hidup dan selepas mati. Rakyat juga amat perlukan pemimpin yang bisa menyamankan kehidupan mereka baik sudut ekonomi, sosial, politik dan keselamatan. Rakyat tidak perlukan pemimpin tangan besi dan tidak perlukan pemimpin yang dinabikan kerana kata Sudjiwo Tedjo lagi, "pemimpin tangan besi mematikan nyali (keberanian). Pemimpin yang dinabikan mematikan nalar (pertimbangan logis)
7. Marilah sama-sama kita berdoa agar negara dijauhi pemimpin yang tergelincir ke kubang diktator kerana ketika akal sudah tidak bisa lagi mengubah, usaha sudah tidak lagi berkesan, hanya doa saja satu-satunya senjata orang-orang mukmin untuk berdepan ujian sebesar mana sekalipun yang datang. Tambah karyawan seberang juga, "mengkritik adalah sebahagian dari doa", apa betul itu? Malang sekali mengkritik juga sekarang udah gak bisa! Kata teman saya tadi, "ngomel-ngomel terus kita juga yang haus".
Wallahualam

No comments:
Post a Comment