1. Jika dibuat ujian rambang seluruh rakyat, fikir saya sebahagian besar mahu menjadi pemimpin berbanding menjadi pengikut walaupun hakikatnya tidak semua mampu menjadi pemimpin. Malah menjadi pengikut saja sulit sekali untuk mengikut mana mungkin untuk memimpin. Menjadi pemimpin itu harus ada beberapa syarat dan paling utama adalah lugas tidak berbelit-belit yang kemungkinan besar membelit bukan saja dirinya malah lidah yang deras berputar-putar. Antaranya yang cukup penting adalah;
- Jangan sesekali berkata ini bukan tanggungjawab saya. Kerana rakyat tidak tahu yang mana tanggungjawab tahap kampung, daerah, negeri atau negara. Itu pantang sebagai pemimpin walaupun itu kemungkinan tanggungjawab pusat dan dia di peringkat negeri. Seharusnya diamalkan 'No wrong door policy' jika kita benar-benar pemimpin mewakili rakyat.
- Jangan sesekali beralasan tidak punya wang walaupun ketika jawatan itu disandang hutang yang ditanggung jutaan ringgit angkara inkumben. Harus pintar merawat masalah kerana itulah sifat pemimpin dan jika tidak kamu tidak dipilih sebagai pemimpin. Sepanjang tempoh menjawat jawatan itu maka berjimatlah agar segera hutang itu dapat dilangsaikan. Dengan memberitahu tidak ada wang maka ia akan mengurangkan kreativiti seseorang pemimpin dan akan menyalahkan masa lalu. Pemimpin masa lalu begini dan begitu sehingga rakyat jadi lelah mendengar alasan sama setiap kali berganti pemimpin. Pernah satu ketika saya bertanya Mukhriz Mahathir yang ketika itu dalam proses bertanding jawatan Ketua Pemuda Kubang Pasu di mana beliau tewas kepada Zulkifli Ahmad yang dipanggil Zul Beras. Saya berkata kepada Mukhriz, "wakil rakyat sering berkata tidak ada wang dan bimbang untuk melawat kawasan jika di kawasan mereka terkena musibah". Jawab Mukhriz, kilang-kilang seperti gula dan produk makanan tertentu ada tarikh lupusnya. Jika kita mohon jasa baik pihak kilang, mereka akan membantu untuk memberi produk yang beberapa bulan sebelum lupus tarikh jika diminta. Oleh itu kata Mukhriz, "jangan sesekali melawat mangsa musibah seperti banjir atau ribut dengan tangan kosong atas alasan belum ada peruntukan kerana ianya mengecewakan rakyat". Ada juga pemimpin lain yang memberitahu saya bahawa sebagai pemimpin, mereka seharusnya punya jaringan kerja dengan pengusaha atau pemilik kilang papan dan hardware sebagai persediaan jika berlaku ribut dan sebagainya untuk membolehkan ambil dulu bayar kemudian barang-barang seperti zink dan sebagainya bagi membantu mangsa tersebut. Menunggu peruntukan datang yang entah bila bererti membiarkan mangsa ribut atau banjir tinggal dengan keadaan rumah tidak berbumbung ditambah dengan musim hujan. Jika mangsa sendiri sudah usahakan untuk membaikinya, jika datang bantuan kelak nilainya sudah tidak sama dengan ketika mereka benar-benar memerlukan.
- Jangan sesekali mengeluh kerana jika pemimpin mengeluh ertinya secara psychologynya beliau lemah. Bagaimana pemimpin ingin melayan rakyat jika dia sendiri dilihat lemah? Malangnya inilah ekspresi yang sering ditampilkan oleh pemimpin sehingga rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap pemimpin.
2. Banyak lagi ciri-ciri kepimpinan yang dapat membantu seseorang pemimpin untuk dekat di hati rakyat. Rakyat tidak perlukan pemimpin yang mengamalkan pendekatan populis dan penuh retorika sedangkan fakta sebenar adalah tong kosong diisi konkrit untuk menghilangkan bukti. Untuk mendapatkan dokongan rakyat yang penting adalah kepercayaan. Harga kepercayaan tidak mahal jika keranjangnya tidak berisi korupsi dan ufti kerana sebenarnya kepercayaan itu tidak akan dapat dibeli dengan wang ringgit. Yang menyebabkan ia menjadi mahal kerana selama ini kita membudayakan wang sebagai senjata untuk membeli apa saja khususnya dokongan. Lama kelamaan wang sudah menjadi raja dan kita sudah menjadi hamba yang terpaksa menyembah wang untuk tidak diapa-apakan oleh raja seperti kata Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir terhadap pemimpin yang menganggap 'cash is king'.
3. Kata Donald H. Mc Gannon, "Kepemimpinan tercermin dari tindakan, bukan kedudukan" tetapi yang terpancar setiap kali melihat pemimpin adalah "Kepemimpinan tercermin dari kedudukan bukan tindakan".
Wallahualam

No comments:
Post a Comment